Sejarah Perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. selama 23 tahun menyebarkan Islam telah diketahui umum samada di kalangan masyarakat Islam atau yang bukan Islam. Kemenangan demi kemenangan telah dikecapi walaupun mendapat tentangan yang hebat daripada kaum Quraish jahiliah, kaum Yahudi, kerajaan Rom, Parsi dan lain-lain kuasa pemerintahaqn di masa itu, Namun, pernahkan kita bertanyakan berapakah sebenarnya harga yang perlu dibayar sebelum memperolehi kemenangan tersebut.
Sebagaimana yang semua telah maklum, Rasulullah s.a.w. telah memulakan dakwah mengajak kepada agama yang benar iaitu Islam di Mekah selama 13 tahun dan kemudian berhijrah serta membina Kerajaan Islam di Madinah selama 10 tahun sebelum keafatan Baginda s.a.w.
Sesungguhnya, usaha serta perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. serta para Sahabat r.a. dalam menegakkan agama Allah di muka bumi ini sangatlah tinggi nilainya seingga tidak dapat digambar atau dinilaikan melalui harta, wang ringgit atau sebarang bentuk alat serta sukatan. Hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahui betapa besarnya harga yang terpaksa dibayar oleh mereka.
Usaha serta perjuangan tersebut sebenarnya penuh dengan peristiwa-peristiwa pahit, sedih, penuh dengan kepayahan, cacian, makian, fitnah, penindasan demi penindasaan dan serba macam kepayahan.
Sepanjang 13 tahun pertama dakwah Rasulullah s.a.w. sewaktu berada di Mekah, adalah jangka masa yang sangat memeritkan dan perlu di bayar dengan pengorbanan tanpa melibatkan sebarang wang ringgit.
Ini adalah kerana mereka berada didalam keadaan miskin dan tertindas. Banyak peristiwa-peristiwa sedih yang berlaku semasa berada di Mekah antaranya:-
- Orang-orang Islam yang tidak mendapat perlindungan atau jaminan keselamatan daripada mana-mana pemimpin Mekah telah diseksa dan dianiayai. Contoh penindasan ini berlaku kepada Keluarga Yasir (diseksa dan terbunuh), Sumaiyah (disula dan terbunuh) dan anaknya Ammar (diseksa dan dipaksa untuk murtad tetapi berjaya mempertahankan imannya). Sayyidina Bilal telah di seksa dengan dahsyat dan banyak lagi contoh-contoh yang penindasan terhadap orang-orang Islam sewaktu di Mekah.
- Umat Islam dan suku Abdul Muttalib telah dipulau dan dikenakan sekatan ekonomi sehingga berlaku kebuluran dan menanggung penderitaan yang berat.
- Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah menerima cacian, penindasan, pemulauan, fitnah, penganiaan sehingga ke peringkat usaha untuk membunuh.
Dalam jangka waktu 13 tahun tersebut walaupun umat Islam dalam keadaan lemah, Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah mengalah mahupun tunduk kepada kaum kafir Quraish. Walaupun pada peringkat awalnya, Kaum Quraish mahu berbincang dan berkompromi agar Nabi Muhammad s.a.w. tidak meneruskan dakwahnya, namun Baginda tetap menjalankan perintah Allah s.w.t. menyebarkan dakwah Islam dengan sabar dan penuh hikmah.
Gambaran Masjid Nabawi yang asal. |
Pada 10 tahun berikutnya iaitu setelah berjaya berhijrah ke Madinah, pengorbanan-pengorbanan serta rintangan-demi rintangan tetap terpaksa dihadapi antaranmya:-
- Usaha penghapusan orang-orang Islam di Madinah yang dilakukan oleh orang-orang kafir Quraish Mekah dengan menyerang mereka sehimgga berlaku peperangan Badar Al-Kubra. Dalam masa ini, keadaan kewangan serta jumlah umat Islam adalah sedikit, sangat daif dan miskin.
- Usaha penghapusan kali kedua dalam peperangan Uhud. Keadaan umat islam masih lagi miskin dan sedikit.
- Usaha penghapusan kali ketiga oleh gabungan tentera Kafir Quraish, Yahudi dan kaum-kaum lain di sekitar tanah Arab. Keadaan umat Islam masih lagi daif dan masih berlaku kekurangan makanan.
- Usaha yang dilakukan oleh kaum Yahudi untuk melemahkan umat Islam yang semakin kuat. Berlaku peperangan Khaibar, Bani Nadir dan peperangan lain menentang Yahudi.
- Usaha suku-suku lain di persekitaran Madinah menghkhianati sehingga mengakibatkan terbunuhnya ramai sahabat-sahabat yang hafiz Al-Quran yang dihantar keluar untuk berdakwah dan mengajarkan Al-Quran.
- Berbagai fitnah yang cuba disebarkan oleh golongan Munafik dalam usaha untuk memecah belahkan umat Islam dan melemahkan usaha dakwah Nabi Muhammad s.a.w.
- Berlaku banyak lagi serangan-serangan keatas negara Islam di Madinah yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan besar di sekitar semenanjung Arab.
- Serangan dan ancaman oleh kerajaan-kerajaan dari Empayar Rom dan Parsi.
- Berlaku kejadian murtad dan munculnya golongan-golongan yang menyokong nabi palsu.
Dalam usaha-usaha dakwah yang cuba dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w serta para sahabat menyebarkan risalah Islam, berbagai pengorbanan terpaksa ditanggung antaranya:-
- Para Sahabat di kalangan Ansar telah mewakafkan harta untuk syiar Islam.
- Para sahabat telah menginfak dan menghabiskan harta serta wang ringgit bagi mengumpul dana untuk membiayai ekspedisi-ekspedisi dakwah yang dihantar keluar dari kota Madinah.
- Para sahabat yang miskin dan tidak berharta telah menawarkan diri mereka sendiri untuk keluar berdakwah atau menyertai banyak peperangan.
- Para-para perwakilan yang dihantar kepada kerajaan-keraan besar ada yang telah dibunuh dan zalimi.
Nabi Muhammad s.a.w. telah wafat pada 10-11 Hijrah di saat kerajaan Islam di Madinah berjaya memartabatkan Islam dengan menundukkan kesombongan kaum kafir Quraish serta bebas dari penindasan mereka termasuk kaum yahudi serta kaum-kaum lain yang berada di semenanjung Arab.
Kini keadaan umat Islam adalah jauh lebih baik berbanding dengan keadaan umat Islam di era awal penyebaran Islam. Bayangkan harga pengorbanan para sahabat yang terpaksa di bayar berbanding kita. Sudah pasti dengan harga yang besar tersebut, ganjaran yang Allah s.w.t sediakan adalah sangat besar dan tidak tergambar pahalanya.
Persoalannya di manakah kedudukkan kita sekarang berbanding dengan para sahabat terdahulu? Dengan apa yang telah kita usahakan selama ini, layakkah kita mendapat tempat seperti mereka?
Marilah sama-sama kita fikirkan bagaimana untuk melakukan yang terbaik demi untuk meraih reda Allah s.w.t. Fastabikul Khairat. Wallahua'lam.