بسم الله الرحمن الرحيم

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya) ?" (Surah Al-Qamar: Ayat 032)

Petua Mendidik Anak-Anak Cara Islam

Anak-anak adalah merupakan penyejuk mata dan penawar hati bagi mana-mana pasangan rumahtangga. Kehadiran mereka sangat diperlukan dan ketiadaan mereka sentiasa dirindui oleh ibubapa.

Namun begitu di dalam mendidik anak-anak, ibubapa seharusnya berhati-hati agar tidak melakukan kesilapan dalam didikannya sehingga boleh merosakkan peribadi kanak-kanak tersebut.

Disini kami ingin kongsikan beberapa tip yang baik dan boleh diaplikasikan oleh para ibubapa dalam mendidik anak-anak.
  1. Elakkan pukul anak dari bahagian lutut ke atas: Mendidik anak dengan cara memukul adalah merupakan opsyen terakhir yang perlu dilakukan. Sekiranya keadaan memaksa, cuba hindarkan dari memukul anak dari lutut keatas. Sebaliknya, pukullah tapak kaki anak tersebut.
  2. Elakkan guna tangan atau anggota tubuh yang lain untuk memukul anak: Elakkan dari menampar anak menggunakan tangan kita. Ia dikhuatiri akan lebih memburukkan keadaan di mana anak akan jadi bertambah nakal dan degil.
  3. Didik anak anda untuk mendirikan solat: Sabda Rasulullah s.a.w.: “Perintahkanlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur 7 tahun, danpukullah mereka kerana tidak solat ketika berumur 10 tahun, dan pisahkanlah tempat-tempat tidur mereka” ( H.R. Ahmad & Abu Daud )
  4. Nama panggilan yang baik: Berikan nama dan gelaran yang baik-baik kepada anak anda. Nama panggilan yang tidak baik dan memalukan boleh menyebabkan anak anda berasa malu dan rendah diri terutamanya apabila diketahui oleh rakan-rakan anak anda.
  5. Peluk anak setiap hari: Berikan anak anda pelukan setiap hari. Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yang lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.
  6. Pandangan kasih sayang: Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang. Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran.
  7. Berikan pujian kepada pada anak: Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan. Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya.
  8. Akui kesilapan anak: Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan kerana mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah melakukan kesilapan.
  9. Utamakan keluarga: Apabila anda perlu membuat pilihan samada masalah kerja atau keluarga, maka pilihlah keluarga. Ketahuilah bahawa anak-anak akan terus membesar samada anda sedari atau tidak. Masa itu akan terus berlalu dan tak akan kembali.
  10. Elakkan mengeluh kerana anak: Ucapkanlah ‘Astaghfirulllah’ apabila berhadapan dengan masalah anak-anak. Proses membesarkan dan mendidik anak-anak memerlukan kesabaran dan kekuatan minda. Elakkan dari mengeluh kerana keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.
  11. Dengar dengan baik apabila anak bercakap: Dengarlah dan tumpukan perhatian apabila anak anda ingin bercerita kerana cerita itu tidak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Sabar dan tunggu giliran anda yang sesuai untuk bercakap. Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap. Jadilah seorang pendengar yang baik terutamanya kepada anak-anak.
  12. Tenangkan anak anda: Adakalanya, anak kita panik dan tidak tahu nak buat apa. Tenangkan anak anda ketika mereka memerlukannya. Peluk erat-erat dan tunjukkan kasih sayang anda yang tak berbelah bagi.
  13. Tunjuk anak bagaimana cara menenangkan diri: Disamping pelukan yang menenangkan, selitkan juga kata-kata nasihat dan iktibar yang sewajarnya. Kalau bergaduh sesama adik-beradik, leraikan dengan suara yang lembut. Tunjukkan contoh yang baik kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri dan mereka akan mencontohinya.
  14. Sambut ulangtahun kelahiran bersama-sama: Sambut ulang tahun hari lahir anak-anak mengikut kemampuan anda. Kanak-kank yang datang daripada persekitaran yang pandai menghargai sesuatu akan membesar sebagai individu yang boleh menghargai orang lain.
  15. Ulang arahan beberapa kali: Didalam mendidik, ibubapa harus menerima hakikat bahawa kanak-kanak memerlukan peringatan serta teguran yang berulang-ulang kali sebelum mereka betul-betul memahaminya. Di dalam perkara ini, ibubapa perlu bersabar dan tidak mudah putus asa sehingga hilang pertimbangan.
  16. Buat aktiviti bersama anak-anak: Luangkanlah masa bersama anak anda dengan melakukan aktiviti-aktiviti di luar rumah. Sebaiknya peganglah tangan anak-anak apabila berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa anda menghargai kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri. Luangkan masa anda untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah bersama-sama. Anak-anak anda akan mengingati saat-saat indah tersebut bersama ibu-bapa sampai bila-bila.
  17. Tinggalkan kerja di pejabat: Elakkan daripada membawa kerja anda ke rumah. Sebaliknya luangkan masa anda bersama anak-anak apabila berada di rumah kerana mereka lebih memerlukan perhatian anda.
  18. Hargailah permainan kesayangan anak anda: Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak sebaliknya mohon kebenaran mereka sebelum berbuat demikian. Seandainya ini dapat dilakukan, mereka juga akan menghargai barang-barang kesayangan anda.
  19. Jangan biarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam: Berikan ciuman sebagai tanda kasih sayang ibubapa kepada mereka. Usaplah kepala mereka dan bacakan doa yang baik-baik untuk mereka.
  20. Terimalah anak anda seadanya: Bersyukurlah kerana anda telah dikurniakan cahaya mata dan terimalah pemberian ini seadanya. Bebagaimana ibubapa yang tidak sempurna dan kadangkala melakukan kesilapan, anak-anak juga pasti tidak terlepas dalam melakukan kesalahan. Apa yang penting, mereka perlukan sokongan dan bimbingan didalam menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan. 

Akhir kata, sebagai ibubapa kita telah dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak-anak mengikut lunas-lunas yang disyariatkan oleh agama Islam. Pilihlah pendidikan yang bermanfaat untuk anak-anak agar mereka tidak kerugian serta tersesat jalan di hari kemudian. Ajarkan mereka dengan pendidikan Al-Quran untuk menjadi penyuluh kepada mereka dikala kegelapan.

Jom Ngaji Al-Quran Teknik Al-Baghdadi!
Al-Baghdadi Learning Centre Johor Bahru
Whatsapp: +6011-5299 3775